Thursday, September 18, 2014

Impak kedatangan pelancong asing ke Malaysia

      Negara kita Malaysia kaya dengan pelbagai khazanah alam dan turun temurun serta tidak kurang dengan pembangunan moden. Justeru itu, tidak hairanlah jika sektor pelancongan di negara ini dapat berkembang dengan pesat. Lapangan terbang, stesen komuter dan keretapi serta jeti-jeti besar yang terdapat di Malaysia tidak pernah lengang dengan pelancong asing. Hal ini telah diperhebatkan lagi dengan kempen kerajaan iaitu Tahun Melawat Malaysia yang racak dijalankan dengan tema 'Malaysia Truly Asia'. Sedarkah kita sebagai rakyat Malaysia tentang kesan-kesan yang berlaku di atas kedatangan pelancong asing di negara ini?

      Antara hikmah kedatangan pelancong asing di negara ini adalah dapat menaikkan taraf ekonomi. Sudah terang lagi bersuluh, kedatangan mereka akan dapat menjana pendapatan penduduk di negara ini. Kehadiran mereka akan menyebabkan pihak yang berwajib membangunkan infrastruktur yang lebih selesa agar pelancong asing tidak serik untuk datang ke negara kita. Hal ini secara langsung akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Sebagai misal, apabila sebuah hotel dibina, maka jawatan kosong yang ada boleh diisi oleh anak-anak tempatan. Peluang-peluang kerjaya yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan akan dapat mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia. Apabila kadar pengangguran berkurangan maka ekonomi negara juga akan dapat ditingkatkan.

     Selain itu, warisan tradisi negara kita juga boleh dikenalkan kepada pelancong asing agar keunikan budaya Malaysia tidak hanya tersimpan di dalam kapsul sejarah. Hal ini penting bagi memastikan kesinambungan budaya dapat diteruskan kerana ia boleh dijadikan sumber rezeki dan tidak akan mati ditelan arus zaman. Semangat anak muda boleh kita bakar dengan kehadiran pelancong asing agar mereka bangga dapat menunjukkan warisan mereka kepada masyarakat luar.
Sebagai contoh, persembahan unik seperti wayang kulit, kuda kepang dan banyak lagi boleh dipersembahkan kepada pelancong asing dan mereka dikehendaki membayar harga tiket dengan kadar yang berpatutan. Bak kata orang tua-tua "sambil menyelam minum air". Bukan sahaja warisan kita dapat dipelihara malahan, ia juga boleh menjana pendapatan seseorang.

    Harus kita ingat bahawa kedatangan pelancong asing ke Malaysia juga membawa virus-virus negatif seperti percambahan budaya kuning dalam kehidupan seharian masyarakat terutamanya golongan muda hidup seperti lalang yang tidak tetap pendiriannya. Contoh mudah yang boleh kita saksikan ialah pergaulan yang melampaui batas seperti bercumbu di tempat awam. Hal ini bertentanggan dengat adat ketimuran yang telah diasuh oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi. Golongan muda yang inginkan kehidupan tanpa sekatan amat mudah terikut-ikut dengan budaya kuning ini. Sekiranya golongan muda yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan telah tercemar ideologinya bagaimana negara kita akan dipimpin pada masa hadapan?

    Akhir sekali, tidak dapat kita butakan mata, pekakkan telinga bahawa kadar jenayah juga meningkat disebabkan oleh kehadiran pelancong asing di Malaysia. Hal ini berlaku apabila mereka menyalahgunakan permit belajar atau melancong mereka dan mula bekerja secara haram di Malaysia. Paling mendukacitakan apabila terdapat sebilangan kecil anak tempatan membantu warga asing ini melakukan jenayah seperti menyeludup bahan terlarang seperti rokok, dadah dan banyak lagi. Terdapat juga warga asing yang datang ke Malaysia bukan di atas permit kerja, bekerja sebagai GRO di kelab-kelab malam di sekitar pusat bandar. Pelajar-pelajar asing atau lebih dikenali sebagai 'Awang Hitam' telah berjaya memperdayakan wanita tempatan melalui laman sosial sehingga ada yang kerugian beratus ribu ringgit demi memenuhi nafsu cinta mereka kepada awang hitam. Nyatalah di sini bahawa kehadiran pelancong asing juga dapat membahayakan keselamatan negara kita.

    Natijahnya, semua pihak wajib bahu membahu antara satu sama lain agar dapat meningkatkan lagi mutu pelancongan di negara kita dan dapat mengurangkan impak buruk di atas kedatangan pelancong dari negara luar. sikap baga enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing harus kita hindari agar negara kita dapat mengorak langkah yang lebih besar dan dapat menandingi sektor pelancongan di negara maju.

No comments:

Post a Comment