Friday, September 19, 2014

Kebaikan mengamalkan gaya hidup sihat

   Kehidupan manusia alaf baru yang serba-serbi pantas menyebabkan mereka mengabaikan amalan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat merangkumi pelbagai aspek daripada segi penjagaan makanan, senaman dan kitaran tidur yang betul. Pelbagai manfaat daripada pengamalan gaya hidup sihat dapat kita perolehi seandainya kita mengamalkannya dengan kaedah yang betul.

  Antara faedah mengamalkan gaya hidup sihat adalah dapat menjadikan badan kita kuat. Makanan yang diambil berdasarkan piramid makanan akan membantu tubuh untuk melawan penyakit kerana tubuh kita mendapat nutrisi yang secukupnya. Sebagai contoh, apabila makanan yang diambil bebas daripada penggunaan bahan pewarna dan perasa tambahan juga baja kimia, badan kita akan menjadi lebih sihat dan kuat. Hal ini akan menjurus kepada menjadikan badan lebih kuat bagi menangkis penyakit.

  Selain itu, kita dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Hal ini kerana, gaya hidup sihat menjanjikan kita dengan kesihatan yang lebih baik berbanding gaya hidup tidak sihat. mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengawal makanan dan bersenam dapat mengurangkan risiko penyakit misalnya jantung tersumbat. Kesannya, pengamal tidak perlu menjalani kehidupan menyulitkan seperti terpaksa mengikut jadual ubat-ubatan dan pergi ke hospital.

   Di samping itu, pengamal juga akan terhindar daripada pelbagai gejala sosial seperti merokok, minum arak, mengambil dadah dan pergaulan bebas. Hal ini kerana pengamal akan dapat memikirkan secara logik tentang kesan apabila terlibat dengan penyakit sosial. Sebagai kesan, pengamal akan menjadi seseorang yang memberi manfaat kepada masyarakat.

    Akhir sekali, pengamalan gaya hidup sihat akan dapat melahirkan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini kerana keluarga ini dibina berdasarkan sebuah elemen yang cukup mantap iaitu gaya hidup sihat yang merangkumi pengambilan makanan seimbang, senaman dan tidak terlibat dengan gejala sosial. Hubungan antara keluarga juga dapat dieratkan. Misalnya, ahli keluarga makan makanan sihat bersama-sama dann beriadah bersama sama. keluarga bahagia inilah yang akan dapat melahirkan anak-anak yang produktif untuk negara.

     Konklusinya, pengamalan gaya hidup sihat akan dapat menghasilkan sebuah negara yang maju kerana rakyatnya hidup dengan ceria berdasarkan amalan gaya hidup sihat.

Thursday, September 18, 2014

Impak kedatangan pelancong asing ke Malaysia

      Negara kita Malaysia kaya dengan pelbagai khazanah alam dan turun temurun serta tidak kurang dengan pembangunan moden. Justeru itu, tidak hairanlah jika sektor pelancongan di negara ini dapat berkembang dengan pesat. Lapangan terbang, stesen komuter dan keretapi serta jeti-jeti besar yang terdapat di Malaysia tidak pernah lengang dengan pelancong asing. Hal ini telah diperhebatkan lagi dengan kempen kerajaan iaitu Tahun Melawat Malaysia yang racak dijalankan dengan tema 'Malaysia Truly Asia'. Sedarkah kita sebagai rakyat Malaysia tentang kesan-kesan yang berlaku di atas kedatangan pelancong asing di negara ini?

      Antara hikmah kedatangan pelancong asing di negara ini adalah dapat menaikkan taraf ekonomi. Sudah terang lagi bersuluh, kedatangan mereka akan dapat menjana pendapatan penduduk di negara ini. Kehadiran mereka akan menyebabkan pihak yang berwajib membangunkan infrastruktur yang lebih selesa agar pelancong asing tidak serik untuk datang ke negara kita. Hal ini secara langsung akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Sebagai misal, apabila sebuah hotel dibina, maka jawatan kosong yang ada boleh diisi oleh anak-anak tempatan. Peluang-peluang kerjaya yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan akan dapat mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia. Apabila kadar pengangguran berkurangan maka ekonomi negara juga akan dapat ditingkatkan.

     Selain itu, warisan tradisi negara kita juga boleh dikenalkan kepada pelancong asing agar keunikan budaya Malaysia tidak hanya tersimpan di dalam kapsul sejarah. Hal ini penting bagi memastikan kesinambungan budaya dapat diteruskan kerana ia boleh dijadikan sumber rezeki dan tidak akan mati ditelan arus zaman. Semangat anak muda boleh kita bakar dengan kehadiran pelancong asing agar mereka bangga dapat menunjukkan warisan mereka kepada masyarakat luar.
Sebagai contoh, persembahan unik seperti wayang kulit, kuda kepang dan banyak lagi boleh dipersembahkan kepada pelancong asing dan mereka dikehendaki membayar harga tiket dengan kadar yang berpatutan. Bak kata orang tua-tua "sambil menyelam minum air". Bukan sahaja warisan kita dapat dipelihara malahan, ia juga boleh menjana pendapatan seseorang.

    Harus kita ingat bahawa kedatangan pelancong asing ke Malaysia juga membawa virus-virus negatif seperti percambahan budaya kuning dalam kehidupan seharian masyarakat terutamanya golongan muda hidup seperti lalang yang tidak tetap pendiriannya. Contoh mudah yang boleh kita saksikan ialah pergaulan yang melampaui batas seperti bercumbu di tempat awam. Hal ini bertentanggan dengat adat ketimuran yang telah diasuh oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi. Golongan muda yang inginkan kehidupan tanpa sekatan amat mudah terikut-ikut dengan budaya kuning ini. Sekiranya golongan muda yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan telah tercemar ideologinya bagaimana negara kita akan dipimpin pada masa hadapan?

    Akhir sekali, tidak dapat kita butakan mata, pekakkan telinga bahawa kadar jenayah juga meningkat disebabkan oleh kehadiran pelancong asing di Malaysia. Hal ini berlaku apabila mereka menyalahgunakan permit belajar atau melancong mereka dan mula bekerja secara haram di Malaysia. Paling mendukacitakan apabila terdapat sebilangan kecil anak tempatan membantu warga asing ini melakukan jenayah seperti menyeludup bahan terlarang seperti rokok, dadah dan banyak lagi. Terdapat juga warga asing yang datang ke Malaysia bukan di atas permit kerja, bekerja sebagai GRO di kelab-kelab malam di sekitar pusat bandar. Pelajar-pelajar asing atau lebih dikenali sebagai 'Awang Hitam' telah berjaya memperdayakan wanita tempatan melalui laman sosial sehingga ada yang kerugian beratus ribu ringgit demi memenuhi nafsu cinta mereka kepada awang hitam. Nyatalah di sini bahawa kehadiran pelancong asing juga dapat membahayakan keselamatan negara kita.

    Natijahnya, semua pihak wajib bahu membahu antara satu sama lain agar dapat meningkatkan lagi mutu pelancongan di negara kita dan dapat mengurangkan impak buruk di atas kedatangan pelancong dari negara luar. sikap baga enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing harus kita hindari agar negara kita dapat mengorak langkah yang lebih besar dan dapat menandingi sektor pelancongan di negara maju.